Oleh BAZLI ABDUL RAHMAN
utusanperlis@utusan.com.my
KAMARUDIN Hussin, Radzi Sheikh Ahmad memegang sijil pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBR) selepas majlis Pelancaran Program Bakti Siswa Perdana Siri III, Peringkat Negeri Perlis di Kangar, semalam.
KANGAR 24 Julai - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mencatat sejarah tersendiri dalam Malaysia Book of Records (MBR) apabila berjaya menganjurkan program bakti siswa terbesar tiga tahun berturut-turut. Kali pertama universiti itu mengadakan program dengan nama Bakti Siswa Perdana (BSP) ialah pada 2007 apabila 920 mahasiswa menjadi anak angkat kepada 460 keluarga di 23 buah kampung. Tahun lalu, jumlah penyertaan mahasiswa meningkat apabila 1,400 peserta menjadi anak angkat kepada 900 keluarga di 31 buah kampung dalam 15 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis.
Tahun ini pula 2,200 mahasiswa menyertai program BSP itu sekali gus diiktiraf oleh MBR sebagai program Keluarga Angkat Terbesar di negara ini pernah dijalankan.Mereka yang terdiri daripada mahasiswa pelbagai kaum menjadi anak angkat kepada 1,300 keluarga di 55 buah kampung.Naib Canselor UniMAP, Profesor Datuk Dr. Kamarudin Hussin memberitahu, BSP merupakan salah satu disiplin dalam Kursus Tujuh Tonggak Inovatif yang wajib disertai mahasiswa untuk melayakkan mereka bergelar siswazah."Kursus itu bertujuan menyeimbangkan kebijaksanaan mahasiswa untuk berfikir dan mengawal emosi supaya lebih terbina sahsiah diri mereka dalam berhadapan dengan era globalisasi.
"Penganjuran program ini juga merupakan antara usaha dan inisiatif UniMAP dalam membentuk minda kelas pertama dalam kalangan masyarakat kampung sebagai salah satu tanggungjawab sosial untuk membantu kerajaan negeri," ujarnya.Beliau berkata demikian semasa berucap pada program BSP yang dirasmikan oleh Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu di sini hari ini.
Timbalan Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Profesor Dr. Mahmood Nazar turut hadir.Kamarudin turut mengingatkan peserta BSP agar menggunakan sebaik mungkin waktu bersama keluarga angkat terutama untuk membina masyarakat yang lebih harmoni tanpa mengira agama dan keturunan."Saya yakin dan percaya, program yang kita anjurkan ini dapat memupuk perpaduan antara kaum selaras dengan konsep 1Malaysia."Ini kerana semua mahasiswa yang terlibat dalam program kali ini terdiri daripada pelbagai kaum terutama Melayu, Cina dan India," jelasnya.
Beliau juga yakin, selama tiga hari bersama keluarga angkat, mahasiswa terlibat akan memupuk semangat kerja berpasukan dan melatih kemahiran berkomunikasi dengan masyarakat di tahap terbaik.Beliau juga mahu mahasiswa menyebarkan pelbagai maklumat penting kepada masyarakat untuk manfaat jangka panjang terutama mengenai program yang ditawarkan oleh UniMAP.Beliau turut menyatakan kebanggaan UniMAP apabila AADK turut menjayakan Rakan Anti Dadah (Rada) serentak dengan BSP3 2009.
"Idea penubuhan Rada dicetuskan atas keinsafan dan kesedaran bahawa pihak AADK adalah pelengkap kepada masyarakat yang aman dan harmoni, selain turut menjadi medium perantara untuk merapatkan jurang antara AADK dan belia serta masyarakat setempat.
"Sebagai universiti yang dilabelkan gedung ilmu pengajian tinggi, saya merasakan UniMAP perlu memainkan peranan yang lebih efektif untuk menyokong usaha membanteras gejala dadah sehingga ke peringkat akar umbi," tegasnya.
Berdasarkan perangkaan semasa, katanya, jumlah penagih dadah di Perlis ketika ini 269 orang yang mana 199 adalah penagih baru.
"Walaupun jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding 350 orang tahun lalu, namun saya melihat gejala penagihan dadah yang sudah berlarutan sejak berdekad-dekad ini merugikan keluarga, masyarakat bahkan negara," tegasnya.
No comments:
Post a Comment