Tuesday, March 16, 2010
Unimap nafi program tidak diiktiraf
KANGAR 15 Mac 2010 - Universiti Malaysia Perlis (Unimap) menjelaskan, lapan program yang ditawarkan universiti berkenaan masih di peringkat rundingan dengan Majlis Akreditasi Kejuruteraan (EAC) untuk penganugerahan akreditasi.
Dalam pada itu, Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata, lapan lagi program yang dilaksanakan oleh Unimap hanya akan dikemukakan permohonan akreditasi pada tahun ini, 2012 dan 2013.
Katanya, ia adalah selaras dengan peraturan EAC iaitu permohonan dilakukan semasa pelajar pengambilan pertama berada dalam tahun empat pengajian.
"Apa yang berlaku adalah salah tafsir EAC berhubung sistem akademik yang diamalkan Unimap yang menekankan orientasi praktikal tanpa mengetepikan amalan kejuruteraan konvensional," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Semalam akhbar Kosmo! melaporkan bahawa 16 program yang ditawar Unimap sejak dinaik taraf sebagai institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pada 2001 tidak diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), EAC, Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Sehubungan itu, jelas Kamarudin, sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan untuk menilai 'breadth and depth' kurikulum Unimap dengan diketuai oleh Profesor Ir. Abang Abdullah dan semua sembilan anggota yang dilantik oleh BEM.
"Kesemua mereka mengakui 'breadth and depth' yang diamalkan oleh Unimap adalah mencukupi dan telah mencadangkan agar lapan program yang terlibat diberi akreditasi tetapi ia ditolak oleh Lembaga Rayuan Akreditasi, namun proses rundingan masih berjalan," katanya.
Program-program yang terlibat adalah Kejuruteraan Sistem Elektrik, Kejuruteraan Elektronik Industri, Kejuruteraan Perhubungan, Kejuruteraan Elektronik, Kejuruteraan Mekatronik, Kejuruteraan Pembuatan, Kejuruteraan Bahan dan Kejuruteraan Metalurgi.
Kamarudin berkata, walaupun pengakreditasian terhadap lapan program itu belum diterima, namun statistik universiti telah menunjukkan 100 peratus siswazah 2006 telah mendapat pekerjaan.
"Sebanyak 96 peratus siswazah 2007 juga telah memperoleh pekerjaan begitu juga 88 peratus siswazah 2008 dan 60 peratus 2009.
''Malah ramai lepasan yang telah berjaya memperoleh ijazah sarjana dan doktor falsafah (Ph.D) dari luar negara," katanya.
Labels:
Info
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment