Utusan 22 Julai 2009 / 29 Rejab 1430
ALOR SETAR 20 Julai - Pelabuhan baru Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kampung Kelonchor, Kuala Kedah, di sini yang bernilai RM43.8 juta akan beroperasi sepenuhnya pada penghujung tahun ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Mokhtar Ismail berkata, pelabuhan baru itu akan menyediakan pusat pendaratan ikan yang lebih selesa kepada para nelayan.
"Pelabuhan lama LKIM Kuala Kedah hanya boleh menampung 100 buah bot nelayan pada satu masa dan mendaratkan 400 metrik tan ikan dalam sebulan.
"Pelabuhan baru ini boleh menampung 800 buah bot nelayan dan 1,200 metrik tan ikan dapat didaratkan dalam tempoh sebulan," katanya selepas mengadakan lawatan ke pelabuhan baru Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini semalam.
Menurutnya, pelabuhan itu mula beroperasi secara berperingkat sejak Mei lalu.
"Di situ kemudahan seperti bilik sejuk, kren untuk mengangkut ikan telah disediakan.
"Pelabuhan ini akan memudahkan nelayan untuk mendaratkan ikan dan menjualnya kepada pengguna," katanya.
Jelasnya, pelabuhan baru LKIM yang didirikan di atas tanah seluas kira-kira 14 hektar itu dibina bagi menggantikan jeti Kuala Kedah yang dianggap tidak lagi sesuai pada masa ini.
"Permintaan hasil ikan adalah tinggi dan pelabuhan ini yang lebih moden dapat memaksimumkan pendaratan ikan untuk dijual kepada pengguna," jelasnya.
Dalam pada itu, Mohd. Mokhtar memberitahu, golongan nelayan digalakkan untuk menyertai persatuan nelayan di kawasan masing-masing untuk meningkatkan pendapatan mereka.
"Hanya dengan menyertai persatuan mereka boleh bergiat dalam bidang perniagaan dan memajukan diri.
"Dengan ini mereka boleh mempelbagaikan sumber pendapatan dan tidak terlalu bergantung pada hasil laut semata-mata," katanya.
No comments:
Post a Comment