Utara: Unimap kena atasi masalah jejas kualiti mempelam
Sabtu, 16 Mei 2009 | 21 Jamadilawal 1430
Berita Harian
PADANG BESAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mahu Universiti Malaysia Perlis (Unimap) melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi meningkatkan sektor pertanian, termasuk mengatasi masalah serangan makhluk perosak yang menjejaskan kualiti mempelam harumanis di negeri ini.
Baginda melahirkan keyakinan Unimap mampu mengatasi masalah yang membelenggu pengusaha mangga harumanis sejak 20 tahun lalu jika usaha agresif dilakukan ke arah itu kerana institusi berkenaan mempunyai peralatan, kepakaran dan tenaga profesional yang mencukupi.
"Beta sedih melihat petani bersusah payah mengusahakan tanaman mempelam harumanis, tetapi buah dihasilkan tidak berkualiti, termasuk buruk dan berulat."Masalah serangan makhluk perosak tanaman ini sudah berlarutan sejak sekian lama tetapi petani tetap gigih mengusahakannya kerana pulangannya lumayan dengan permintaan sentiasa meningkat.
"Beta yakin dengan adanya kemudahan ini (stesen Unimap) ia dapat mengatasi masalah serangan ulat buah serta meningkatkan lagi kualiti dan pengeluaran hasil pertanian negeri," titah baginda ketika merasmikan Stesen Penyelidikan Agroteknologi Unimap di Sungai Chuchuh dekat sini, kelmarin.
Turut berangkat, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan Naib Canselor Unimap, Brig-Jen Datuk Dr Kamarudin Hussin.
Stesen agroteknologi itu adalah hasil Plan Strategik Unimap berkonsepkan integrasi pendidikan dan latihan disiplin pertanian dengan sokongan beberapa kelompok disiplin kejuruteraan yang sudah wujud di universiti berkenaan.
Selain itu, Tuanku Syed Sirajuddin turut mencadangkan supaya Unimap mengkaji keberkesanan penggunaan sejenis pokok renek dikenali `Kembang Pagi atau Kembang Pukul Sembilan' bagi mengatasi serangan serangga perosak buah.
"Pada pengamatan beta, pokok renek mampu menarik dan memikat serangga perosak berhimpun kepadanya sekali gus menghalang serangga terbabit menghinggapi tanaman lain yang diusahakan petani," katanya.
Sementara itu, Md Isa ketika berucap berkata, penubuhan stesen yang menjadi kampus cawangan Unimap itu mampu melonjak sektor pertanian di Perlis dengan mengadakan kerjasama bersama agensi kerajaan, termasuk Mardi dan Jabatan Pertanian.
"Penubuhan stesen terbabit mampu mempercepatkan proses pemodenan sektor pertanian serta mampu menyelesaikan masalah yang membelenggu petani menerusi usaha R&D yang dijalankan di situ," katanya.
Beliau berkata, Perlis bergantung sepenuhnya kepada sektor pertanian dengan mempunyai 23,000 hektar tanaman padi, 4,300 hektar getah manakala beribu hektar lagi ditanam dengan tanaman kontan, termasuk buah-buahan.
"Kita berharap petani menukar corak pertanian lama untuk meningkatkan hasil pertanian dengan bantuan dan kepakaran Unimap serta agensi pertanian lain yang berkaitan," katanya.
No comments:
Post a Comment