Thursday, May 14, 2009

UniMap diminta kaji bunga kembang pagi boleh halang serangga

PADANG BESAR 13 Mei - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) diminta membuat kajian terhadap pokok bunga kembang pagi yang dipercayai boleh 'menghalang' serangga perosak daripada menyerang tanaman lain.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah, pokok bunga itu mempunyai keistimewaannya tersendiri kerana ia 'menarik' serangga untuk mengerumuninya.

"Beta minta UniMAP membuat kajian terhadap pokok bunga kembang pagi yang didapati mempunyai keistimewaannya tersendiri.

"Beta pernah pergi ke sebuah ladang contoh yang terletak di Kuala Lumpur satu ketika dulu yang mana serangga perosak hanya tertumpu ke pokok (bunga kembang pagi) itu sahaja dan tidak menyerang tanaman lain," titah baginda.

Baginda bertitah merasmikan Stesen Penyelidikan Agroteknologi UniMAP di Sungai Chuchuh di sini hari ini.

Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid dan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berangkat sama ke majlis itu.

Titah baginda lagi, jika terbukti pokok bunga itu berjaya menghalang serangga perosak tanaman lain, ia sekali gus membantu menggandakan hasil ladang pertanian di negeri ini.

Tuanku Syed Sirajuddin seterusnya bertitah, penyelidikan dan pembangunan (R&D) terhadap pokok bunga itu wajar dilakukan segera oleh UniMAP untuk manfaat sektor pertanian bukan sahaja di negeri ini, malah seluruh negara.

Titah baginda, jika pokok itu berfungsi 'menarik' serangga perosak tanaman, ia wajar dijadikan tanaman sampingan dalam ladang terutama di ladang mempelam harum manis.

Raja Perlis seterusnya percaya, UniMAP tidak akan mengambil masa lama untuk melaksanakan kajian berkenaan bagi membolehkan universiti itu membantu petani dan peladang di negeri berkenaan.

Selain UniMAP, baginda turut meminta institusi pengajian tinggi di negeri ini agar sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri mengembangkan lagi sektor pertanian tempatan.

No comments:

Post a Comment

CR4 - Forum: Chemical & Material Science

Suite101: Engineering Articles

Boeing: News Releases

Moving Your World