Friday, May 15, 2009
Asma Pekerjaan
Pengenalan
Penyakit asma yang berkaitan pekerjaan dikenali sebagai asma pekerjaan. Ini berlaku disebabkan oleh penyempitan saluran pernafasan akibat alahan kepada agen asma yang terdapat di tempat kerja. Tidak banyak maklumat yang diperolehi berhubung dengan asma pekerjaan ini. Namun dalam tahun 1981, 15% dari pekerja kilang roti di Perth, Australia menderita asma disebabkan oleh pekerjaan mereka. Manakala di Malaysia, pada tahun 2006, terdapat 5 kes asma pekerjaan yang dilaporkan kepada PERKESO. Ini menyumbang kepada hampir 30% penyakit pekerjaan yang dikaitkan dengan sistem pernafasan.
Adakah gejala Asma Pekerjaan sama dengan penyakit asma yang lain?
Gejala asma pekerjaan hampir sama dengan asma yang lain seperti sukar bernafas, batuk, nafas berbunyi, dada terasa sempit dan sebagainya. Namun begitu bagi asma pekerjaan, gejala ini dirasakan berkurangan sekiranya pesakit bercuti atau berpindah ke bahagian lain yang tidak terdapat agen penyebab asma tersebut. Justeru itu, adalah penting pesakit diperiksa oleh doktor kesihatan pekerjaan untuk mengesahkan gejala tersebut.
Siapakah pekerja yang berisiko mendapat penyakit asma Pekerjaan?
Contoh pekerja yang berisiko tinggi mendapat asma pekerjaan adalah mereka yang terdedah kepada :-
-hama, kulat,debunga
-Wap kimia, wasap dan kabus
-Habuk sayuran
-Habuk logam
-Habuk kayu
Pencegahan Serangan Asma Pekerjaan
Kaedah terbaik untuk mencegah serangan asma adalah bekerja pada persekitaran yang tiada agen penyebab asma seperti yang disenaraikan di atas. Namun begitu langkah kawalan lain yang lebih praktikal yang boleh diambil adalah seperti berikut :-
-Cuba kenalpasti agen yang difikirkan boleh mencetus serangan asma
-Hindari pendedahan kepada agen yang boleh mencetus serangan asma
-Gunakan alat perlindungan diri yang sesuai untuk mencegah dari tersedut agen seperti topeng pelindung muka dan alat penapis pernafasan (respirator)
-Ambil ubat asma seperti yang diarahkan oleh doktor
-Dapatkan nasihat perubatan yang awal jika dirasakan anda menghidapi penyakit asma pekerjaan
-Laporkan kepada majikan supaya langkah pengawalan yang bersesuaian dapat diambil untuk membaiki persekitaran pekerjaan
-Berhenti merokok.
Perawatan untuk penyakit Asma Pekerjaan
Secara umumnya, asma pekerjaan yang masih diperingkat awal boleh dipulihkan dengan mengawal pendedahan diri terhadap agen menyebab asma. Namun begitu bagi asma pekerjaan yang telah lama dihidapi mungkin memerlukan rawatan yang berterusan walaupun telah berusaha sebaik mungkin untuk menghindari diri dari terdedah kepada agen penyebab asma.
Rawatan asma pekerjaan adalah sama dengan asma biasa iaitu menggunakan ubat-ubatan dan menghapuskan agen yang menjadi penyebab kepada asma pekerjaan. Menurut Info Kesihatan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, terdapat dua rawatan utama bagi penyakit asmapekerjaan ini iaitu :-
i) Perubatan – untuk memperbaiki sekatan pada saluran pernafasan (ubatan untuk kelegaan yang segera) dan kawalan jangka panjang (mencegah serangan asma)
ii) Jauhkan diri dari terdedah kepada agen di tempat kerja yang boleh mencetus serangan asma dengan :
a. Menghapuskan agen di tempat kerja melalui kawalan agen tersebut di tempat kerja
b. Gunakan alat pelindungan diri
c. Bekerja di tempat baru
Justeru itu, diharapkan dengan info asma kesihatan yang diketengahkan pada bulan ini dapat memberi gambaran umum kepada staf tentang kewujudan penyakit asma yang diakibatkan oleh pekerjaan yang dilakukan serta tindakan minimum yang boleh dilakukan untuk mengatasinya.
Rujukan
1. Health Portal –Kesihatan Cara Kerja, www.myhealth.gov.my/.
2. Wikipedia – Asthma.
3. Occupational Asthma,www.agius.com/hew/resource/ocasthma.htm.
4. Lembaran Informasi, Occupational Asthma / Indonesia.
5. Pertubuhan Keselamatan Sosial, Statistik 2006.
6. Info Kesihatan, www.biovo.com/asma-15tm.php.
Disediakan oleh :
Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
Universiti Malaysia Perlis
Labels:
Risalah Kesihatan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment